TANDA-TANDA EGO

Sedikit sangat orang yang memiliki sifat ego yang dia menyedari bahawa dirinya memiliki
sifat keji tersebut.Natijah tidak menyedari adanya ego itulah maka tercetus berbagai perselisihan dan sengketa di dalam masyarakat.
Ini berpunca kerana masing-masing diri dengan sifat ego tersebut bertembung dengan orang lain yang juga memiliki sifat yang sama. Dalam Keadaan mereka sama-sama pula tidak menyedari memiliki sifat ego. Untuk mengetahui samada memiliki sifat ego atau tidak maka perlulah disuluh dengan ilmunya. Ilmu yang menjelaskan tentang ciri-ciri ego tersebut. Namun begitu bukanlah mudah untuk membuang sifat ego itu biarpun sudah mengetahui ciri-cirinya. Kerana ego adalah sifat keji pada batin.
Ego adalah salah satu mazmumah yang bersarang di hati. Sebarang mazmumah bukan mudah hendak dikikis atau dipadamkan. Mazmumah tidak seperti penyakit lahiriah yang mudah diubat. Doktor malah doktor pakar memang bersedia merawat penyakit lahiriah. Penyakit batin atau mazmumah hanya boleh dirawat oleh mursyid yang benar-benar arif. Mursyid inilah yang sangat sukar ditemui. Betapalah pula manusia kini sudah tidak peduli dan tidak berminat untuk mengubati penyakit batin.
Sifat ego adalah penyakit batin. Ianya adalah abstrak atau maknawiyah, yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Namun tetap dapat dikesan melalui tanda-tanda lahiriah pada sikap seseorang itu. Atau dengan kata lain, sifat ego itu ada manifestasi atau implikasinya. Berdasarkan sikap dan tanda-tanda yang terserlah itulah dapat mengenali seseorang itu memiliki sifat ego. Di antara ciri-ciri ego itu adalah seperti berikut :-
1)Menolak Tuhan. Inilah peringkat paling tinggi keegoan manusia.
2)Tidak mahu mengakui akan kewujudan Tuhan ini yang menjadikan mereka berada di dalam kekufuran.
3)Menolak kebenaran. Biarpun terdapat golongan yang mengakui kewujudan Tuhan namun mereka yang salah faham akan keliru tentang Tuhan turut meletakkan diri mereka di dalam kekufuran. Turut berada di dalam kategori ini ialah mereka yang menolak kerasulan Nabi Muhammad SAW. Terdapat pula yang mengakui Allah SWT dan kerasulan Nabi Muhammad, namun mereka menolak kebenaran ajaran Allah SWT dan Rasulullah SAW. Mereka yang seumpama ini boleh jatuh kepada murtad atau kufur. Penolakan atas dasar lemah iman dan tidak boleh melawan tuntutan nafsu, syaitan dan kepentingan dunia maka kedudukan mereka sebagai zalim. Andainya berpunca dari kejahilan, namun tidak terlepas juga sebagai mereka yang ego tinggi yang dihukumkan sebagai fasik. Golongan ini pula sangat meremehkan dosa pahala dan tidak suka memperkatakannya. Apa sahaja yang dibuat tidak mahu dikaitkan dengan persoalan dosa pahala atau halal haram. Keegoan mereka ini seolah-olah mahu bebas. Tidak mahu adanya sebarang keterikatan dengan hukum Allah SWT. Begitu juga dalam kontek kekuasaan Allah SWT, mereka tidak mahu mengaitkan sesuatu peristiwa atau perkara itu dengan bukti kekuasaan allah SWT yang Maha Kuasa. Sesuatu kejadian samada kejayaan, kegagalan mahupun musibah pada mereka lebih nampak kepada sebab atau faktor kejadian tersebut. Dalam soal usaha ikhtiar, mungkin juga boleh diterima sebagai faktor sebab yang terhasilnya sesuatu yang hakikatnya dengan izin Allah SWT. Apa yang anehnya sebagai memperlihatkan ego adalah bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kemarau, jerebu, tanah runtuh yang sifatnya tidak ada campur tangan manusia, pun tidak mahu disandarkan kepada kekuasaan Allah SWT. Lantas dengan cepat mereka mengatakan itu semua adalah lumrah alam atau perkara biasa.
4)Tidak mahu menerima teguran dari orang atau pihak lain. Seolah-olah merasa rendah atau tercabar atau terhina andainya kebenaran itu keluar dari mulut orang lain. Lebih-lebih lagi sekiranya sesuatu yang benar itu datangnya daripada orang bawahannya atau orang yang dianggap status sosialnya lebih rendah.
5)Seringkali menzalimi orang lain apabila seseorang itu memiliki kuasa. Dia akan gunakan kuasa itu bukan sebagai amanah atau tanggungjawab tetapi sebagai peluang untuk menindas atau mendatangkan kesusahan kepada orang lain. Andainya roda pusingan kehidupan menjadikan gilirannya pula berada di bawah atau menjadi pengikut, ketika itu dia akan menjadi orang yang paling sukar untuk taat setia kepada pihak atasannya. Egonya itu membuatkan dia menjadi amat sukar untuk tunduk kepada peraturan dan perintah ketuanya.
6)Sering sahaja bercekak pinggang sebagai gambaran membesar diri. Sifat egonya itu terzahir dalam perbuatan bercekak pinggang biarpun tanpa disedarinya.
7)Payah hendak bertegur sapa kecuali kalau orang lain mendahuluinya. Dia merasakan tidak layak untuk menghormati orang lain seolah-olah orang lain yang patut menghormati dirinya.
8)Isi perbualan atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang. Selalu berwajah serius dan masam. Ditambah pula dengan sikap yang kurang mesra.
9)Sangat memilih kawan terutamanya di kalangan orang yang setaraf sahaja. Kadang-kadang lebih suka berada di tengah-tengah orang yang lebih rendah bukan kerana merendah diri tetapi mengharapkan agar dirinya kelihatan lebih menonjol. Dan begitulah sebaliknya cuba mengelak berkawan dengan orang yang lebih atas kerana tidak mahu kelihatan dirinya rendah.
10)Sangat mudah tercabar oleh kebaikan orang lain. Apatah lagi apabila dicabar maka sangat tidak dapat menguasai emosi. Mudahnya tercabar itu samada akan memberi tindak-balas atau terus merajuk dan membawa hati.
11)Mudah menjadi marah terutamanya kalau orang lain yang membuat silap, lebih-lebih lagi kalau kesilapan itu tertimpa ke atas dirinya. Kalau dia terbukti bersalah sangat sukar untuk meminta maaf. Dan apabila orang lain yang bersalah pula sangat sukar memaafkan.
12)Tidak boleh ditegur atau tidak mahu menerima teguran. Teguran boleh menyebabkan dia sakit hati malah timbul dendam terhadap orang yang menegurnya.
13)Sangat suka dipuji malah sentiasa menunggu-nunggu sahaja akan pujian orang kepadanya. Kalau dia mendengar pujian terhadap orang lain di hadapannya maka timbul sakit hati kepada orang yang memuji itu dan sakit hati kepada orang yang dipujinya.
14)Sangat suka berbahas. Dalam perbahasan pula sering meninggikan suara. Berbahas pula bukan hendak mencari kebenaran tetapi hendakkan kemenangan walaupun salah.
Kesan sifat ego ini sangat merbahaya dan dahsyat. Lihat sahajalah Firaun, Namrud dan Hamman, kerana egolah mereka sanggup menderhakai Tuhan. Bahkan sanggup mati di dalam kekufuran. Biarpun berbagai bencana Tuhan datangkan sebagai amaran dan ancaman, semuanya tidak menjadi pengajaran, iktibar dan ingatan. Apalah ertinya mempertahankan ‘kenikmatan’ ego itu sedangkan menanggung seksa dan laknat Allah SWT.

No comments: