WAHAI HATI…


Allah berfirman yang bermaksud : Wahai Jiwa Yang Tenang.Kembalilah kepada TuhanMu dengan hati yang diredhaiNya.(Surah Al-Fajr 27-28)

Sengaja saya bawakan ayat ini untuk kita sama-sama dapat mengambil sedikit sebanyak pengajaran dengan apa yang ingin saya sampaikan.Mungkin pengalaman ini dapat memberi kebaikan kepada kita semua.

Ketika mana saya membaca buku yang bertajuk Insan Pilihan karangan Syed Hassan Bin Mohamed Al-Attas.Saya teringat akan seseorang yang berada dalam keadaan hampir putus asa dengan hidup,Bukan Itu sahaja..bahkan dia menyalahkan takdir hidupnya yang sentiasa malang. Dia lupa akan kehidupan yang bakal dia lalui masih panjang..dia lupa juga bahawa hidup ini bukanlah hanya setakat terhenti di dunia sahaja akan tetapi akhirat jua tempat kembali yang akan kekal abadi.Saya tertanya sendiri apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh orang itu?Ibadat yang diperintahkan oleh Allah tidak pernah dia tinggalkan.Malah dari segi luaran juga tidak ada cacat cela yang kelihatan pada keIslamannya.Akhirnya saya dapat juga jawapan untuk persoalan yang berlegar di kepala saya.Dia mengakui bahawa keimanan dia kurang malah teramat-amat kurang.Apakah kategori yang dapat diletakkan andai dia melakukan segala rukun islam akan tetapi rukun iman yang enam tidak dapat dia patuhi?

Sahabat-sahabat,

Iringilah Islam dengan keimanan,jangan pisahkan antara kedua-duanya.Dua perkara itu saling memerlukan antara satu sama lain.Tidaklah dinamakan Iman jika tidak islam dan tidaklah dinamakan Islam andai tiada keimanan.Fikir semula apa yang kita cari di dunia ini?Jangan lupa apa tujuan kita hidup di dunia ini.Hidup kita adalah untuk beribadah kepadaNya dan mentaati segala suruhan serta laranganNya.Apakah dengan hanya sedikit ujian yang telah Dia berikan menyebabkan kita merasa putus asa dengan kehidupan ini.Bukankah nikmat yang telah Dia berikan dari awal kita mengecap keindahan dunia ini terlalu banyak.Kenapa kita tidak menjadikan nikmat-nikmat yang telah Allah berikan itu sebagai kekuatan untuk kita terus kekal dengan rasa keimanan kita kepadaNya? Kita merasa bahawa dunia ini tidak adil kepada kita tanpa kita sendiri menilai semula diri kita.Adilkah kita ketika mana Allah memberikan nikmat kepada kita, kita tidak bersyukur malah kita terus lalai,leka dan semakin menjauhkan hubungan kita dengan Allah.Tetapi,apabila nikmat itu ditarik sedikit sahaja.Kita menyalahkan takdir..Tidakkah kita terfikir apabila kita menyalahkan takdir bermakna kita menyalahkanNya?Dia yang memberi dan hak Nya juga untuk menarik kembali apa yang telah diberi.Apakah kedudukan kita sehingga kita sanggup mempertikaikanNya?

Wahai makhluk yang diberikan Hati,

Nilailah kembali sejauh mana keimanan kita.Perbaikilah diri kita selagi ada ruang dan masa yang diberikanNya untuk kita mengubah diri kita dan keimanan kita. Jangan meletakkan diri kita di tempat yang rugi.Saya bawakan sahabat-sahabat tentang satu kisah ketika mana Rabiatul Adawiyah wanita sufi dikunjungi oleh Hassan Al-Basri, Shaqiq al-Bakhi dan Malik Ibn Dinar.Mereka berbincang tentang iman.Hassan Al Basri berkata “Beriman adalah sabar diatas segala kesusahan yang dihadapinya’’ Shaqiq al Balkhi berkata “Beriman adalah bersyukur diatas segala cubaan yang dihadapinya’’.Malik Ibn Dinar berkata “Beriman adalah berasa nikmat dengan penderitaan yang diturunkan Allah”.Rabiatul Adawiyah berkata “Beriman beerti mempunyai wawasan yang jelas tentang Yang Maha Kuasa sehingga tidak sedar penderitaan yang berlaku”.Saya harap apa yang saya kongsikan kali ini dapat menjadi penyuntik bagi diri kita untuk terus tabah dan sabar dalam menempuh segala yang diberikanNya kepada kita.Jangan gadaikan iman dan Islam kita hanya kerana dunia.Firman Allah s.w.t dalam surah al-Hadid ayat 20: Ketahuilah,sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan,perhiasan dan saling berbangga diantara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan,seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani,kemudian (tanaman)itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur.Dan diakhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan daripada Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu. Ingatlah ketika mana nasihat Nabi Isa a.s kepada sahabat-sahabatnya “ Masuklah ke dalam dunia,tetapi janganlah engkau menyibukkan diri di dalamnya’’.

Wahai manusia yang mempunyai akal,

Tundukkanlah ego kalian,buanglah sifat sombong .Sesungguhnya kita tiada kelayakkan untuk bersikap seperti itu.Tiada apa yang dapat kita banggakan hidup di dunia ini.Ingatlah! Andai dunia ini amat berharga nescaya tidak Allah berikan dunia ini kepada orang kafir.Waallahu Alam.

1 comment:

RUSTY WOK said...

insya-Allah... akan terus cuba perbaiki diri... salam ukhuwah fillah... amat bermakna nukilan ini :)