PEWARIS AGAMA

Terfikir diminda saya dalam kehidupan yang singkat ini apakah kita sudah benar-benar bersedia dengan amalan yang nanti akan menjadi kredit bagi kita di akhirat nanti?terkadang terdetik dihati saya,kenapa semakin dicari ilmu itu seolah-olah makin banyak yang saya tidak tahu?mungkinkah disebabkan amalan yang kurang serta sifat tidak istiqomah dalam mencari ilmu itu membuatkan keadaan ini berlaku.Pernah seorang guru saya menegur saya serta kawan-kawan kerana tidak mempunyai sifat ingin tahu yang kuat dalam diri.Perkara itu terbukti apabila kami gagal mengerjakan tugas yang telah diberi.Benar juga apa yang guru saya katakan.Sebagai seorang pelajar,sifat ingin tahu serta rajin wajib ada dalam diri lebih-lebih lagi bagi pelajar yang menuntut ilmu agama seperti kita ini.
Dalam menuntut ilmu agama ini terlalu banyak pantang larang yang harus kita ikuti.Bukan peraturan itu bertujuan untuk membebankan kita tetapi ia lebih menjurus ke arah mengajar diri kita supaya menjadi seorang yang berdisiplin dengan diri,waktu serta segala yang berkait dengan thariq menuntut ilmu.Cuba kita lihat betapa masyarakat kita sekarang sudah tidak lagi meletakkan agama dan hukum-hukum Allah dihadapan.Konsert hiburan lebih ramai dihadiri dari masjid-masjid,pembuangan janin dan bayi tidak lagi menjadi khabar yang memeranjatkan bagi kita.Kes pembunuhan bagaikan perkara biasa sehingga sekiranya tiada berita pembunuhan yang menghiasi dada akhbar kita merasakan ia adalah suatu perkara yang pelik.Ikhtilat tidak syarie antara lelaki dan wanita telah menjadi adat hingga mengakibatkan ramai anak zina dilahirkan ke dunia ini.
Pernah saya terbaca satu artikel daripada seorang gadis apabila ada yang menegur cara pemakaian yang tidak lagi mengikut ketetapan syarak.Pelbagai tomahan dilemparkan,katanya islam bukan agama paksaan kenapa harus dikecoh-kecohkan?islam agama yang mudah jadi kenapa perlu diberat-beratkan?perlu diingatkan bahawa islam bukan agama paksaan bagi sesiapa yang ingin memeluk islam tetapi sekiranya sudah menjadi orang islam yang haram tetap haram dan hukum tetap hukum,ia tidak boleh diremeh temehkan.Bukan niat hendak memberatkan tetapi sudah menjadi tanggungjawab kita saling tegur saudara seislam.Antara menutup aurat mengikut landasan syarak dan menanggung azab seksa Allah yang nyata pedihnya manakah lebih berat?Mungkin ada yang akan mengatakan kubur lain-lain jadi kenapa perlu sibuk?Bukan ingin menjaga tepi kain orang,tetapi kalau kita tidak menegur kita akan sama-sama akan menerima azab didalam kubur kerana tidak memberi peringatan kepada saudara seagama.Ada juga yang memprotes dan menyalahkan pereka fesyen kerana mereka fesyen pakaian yang tidak menutup aurat,jangan menuding jari kearah orang lain,kita sendiri pun mempunyai salah kerana membeli pakaian itu tanpa berfikir baik atau tidak bagi diri kita sendiri.Jangan hanya nampak kesalahan orang lain sedangkan kesalahan sendiri di depan mata tidak kita sedari.
Hukum Allah sekarang sudah tidak lagi diendahkan,dibiarkan sepi tanpa dijalankan.Inilah antara sikap masyarakat kita sekarang.Hukum disalah tafsirkan tanpa betul-betul dipelajari.Itulah yang terjadi sehinggakan ramai yang sesat.Mentafsir ayat Allah hanya mengikut logik akal tanpa difahami dan dikaji dengan lebih mendalam.Betapa masyarakat sekarang sudah jauh menyimpang dari landasan syarak.Masyarakat yang mengaku bertuhankan Allah nan satu,menjunjung sunnah Nabi Muhammad s.a.w dan menjadikan Al Quran sebagai pedoman hidup.Tetapi semua itu hanya pada kalam sahaja tidak betul-betul dibuktikan sedangkan takrif sebenar iman adalah mengaku melalui lisan membenarkan dalam hati dan dibuktikan dengan perbuatan.
Sekiranya bukan kita sebagai pelajar yang menuntut ilmu agama Allah ini menaikkan kembali kalimah Allah maka,siapa lagi yang akan menjaga maruah agama dari terus tercemar?kitalah pewaris yang diharap dapat membersihkan kembali masyarakat islam kini.Sebagai insan yang dipilih olehNya untuk mempelajari hukum-hukumNya maka,gunakanlah kesempatan yang diberi dengan sebaik-baiknya untuk mendalami ilmu agama ini.Jagalah amanah ilmu yang sudah ditaklifkan kepada kita.Sinarkan kembali kegemilangan islam yang kian jatuh.Lengkapkan diri kita dengan ilmu supaya nanti kita tidak akan kekok dalam menghadapi masyarakat yang kian runtuh akhlaknya.Wallahualam.

No comments: